Followers

Friday, 23 December 2011

Pilihan kaedah pelaburan emas

Berikutan harga emas yang semakin melonjak naik, ditambah dengan pendedahan dan maklumat yang mudah diperolehi melalui media, kini semakin ramai yang berminat untuk menjadikan emas sebagai suatu aset untuk tujuan pelaburan. Rekod menunjukkan harga emas adalah stabil, dan tidak terikat kepada kadar inflasi sesebuah negara. Ramai yang bertanya, apakah bentuk pelaburan emas yang terbaik? Secara prinsip, yang terbaik adalah membeli emas pada kadar terendah dan menjualnya semula pada harga yang tertinggi.

Pelaburan emas, atau secara mudahnya menyimpan emas tidak dapat disangkal lagi mampu memberikan pulangan yang lumayan untuk suatu tempoh yang panjang. Sebagai contoh Emas 24K pada tahun 2000 lebih kurang RM40/g tapi hari ini RM177/g. Sekalipun anda tidak melaburkan emas tersebut , memadai dengan hanya menyimpannya dengan baik sudah menguntungkan kerana emas sendiri adalah penyimpan nilai kewangan yang kukuh. Menyimpan emas boleh dilakukan samada secara emas fizikal ataupun dengan membuat simpanan emas di bank seperti GIA, GSPA dan gold certificates. Jadual ringkas berikut disediakan untuk menunjukkan perbezaan di antara kedua-dua kategori tersebut:

Emas FizikalSimpanan Emas di Bank
Emas disimpan dalam bentuk fizikal, kata orang alah membeli menang memakaiEmas dibeli dalam bentuk saving/investment account dengan baki minimum setiap masa
Kepelbagaian dalam design dan boleh dijadikan perhiasanTiada kepelbagaian rekabentuk, untuk pelaburan semata-mata
Mudah dijual secara tunai pada bila-bila masaMudah dijual dalam waktu urusniaga bank
Emas boleh dipajakgadai / al Rahnu sekiranya memerlukan tunai dalam masa yang sama tidak kehilangan aset emasTidak boleh digadaikan. Sekiranya memerlukan tunai, aset emas perlu dijual
Risiko – kehilangan dan kecurianSimpanan emas terjamin
Kadar susut nilai (spread) tinggi disebabkan harga belian termasuk kos upahKadar jualan semula lebih tinggi mengikut harga live-rate (hanya caj bank dikenakan)


Dalam pasaran Malaysia, emas fizikal dikategorikan kepada dua iaitu emas perhiasan dan emas jongkong. Emas perhiasan termasuklah cincin, gelang , rantai dan sebagainya manakala emas jongkong berupa gold bar dan gold coin. Ada pelanggan kami yang berminat dengan emas perhiasan, namun ada juga yang memilih emas jongkong sebagai simpanan. Kami sertakan sedikit perbandingan antara keduanya:

Emas PerhiasanEmas Jongkong (gold coin / gold bar)
Kepelbagaian rekabentukRekabentuk yang terhad
Cantik dan mudah dibawa ke mana-mana. Sesuai digayakan sebagai perhiasanHanya sesuai untuk pelaburan semata-mata
Kadar upah dikenakan mengikut rekabentukTiada upah dikenakan, hanya berdasarkan berat
Mudah dijual semula dan dipajak di mana-mana pajak gadai atau bank al RahnuMudah dijual semula. Mudah dipajak di pajak gadai konvensional. Bank al Rahnu tidak lagi menerima pajakan emas jongkong
Kepelbagaian kualiti dan harga, modal bergantung kepada kemampuan kewangan individuMemerlukan modal yang agak tinggi
Ketulenan emas berbeza bergantung pada rekabentuk. Sekiranya jenis ‘kosong’ mutu emas biasanya tidak dapat dinilai dengan tepatKetulenan emas jongkong dapat dinilai dengan tepat
Di Selangor, zakat perlu dibayar apabila cukup haul apabila melebihi 800gDi Selangor, zakat perlu dibayar apabila cukup haul dan melebihi 85g
Mindset kebanyakan penyimpan emas; emas perhiasan biasanya lebih dihargai dan disimpan lebih lama. Secara tidak langsung emas tersebut menjadi pelindung kekayaan dan akhirnya mendapat pulangan yang berlipat kali gandaMindset kebanyakan pelabur emas; emas jongkong biasanya dijual semula apabila harga telah mencapai target keuntungan, sekaligus tidak memaksimumkan pulangan. Dalam masa yang sama setelah emas tersebut dijual, harga belian semula sudah lebih tinggi


Tepuk dada tanyalah selera, terpulanglah pada anda untuk menyimpan emas secara mana. Teruslah menyimpan emas hari ini untuk masa hadapan. Namun perlu kita berhati-hati kerana akhir-akhir ini banyak kita dengar skim pelaburan emas yang tidak patuh syariah dan melanggar akta kewangan. Ada juga syarikat yang ditutup dan disenaraihitam oleh Bank Negara Malaysia.

Semoga anda mendapat manfaat dari post kali ini. Kami akan cuba menyedikan artikel lengkap berkenaan perihal zakat emas dan jual beli emas menurut Islam untuk panduan semua dalam sedikit masa lagi.

No comments: